Pendahuluan

Pada perkara yang ke-33[1], kata al-Imām al-Barbahārī رَحِمَهُ اللَّهُ:

والرجم حق

“Hukuman rejam itu benar.”

Berkenaan dengan hukuman rajam, hukuman rejam itu benar, (وَالرَّجْمُ حَقٌّ). Jika kita lihat perkara-perkara yang ke-33, 34, 35, 36 dan 37 dalam kitab Sharḥus Sunnah lil Barbahārī, semuanya adalah sebagaimana yang disebut oleh al-Imām al-Barbahārī رَحِمَهُ اللَّهُ dalam Al-Masā’il al-Fiqhiyyah al-Wāridah fī Kutub al-‘Aqīdah (المسائل الفقهية الواردة في كتب العقيدة), yang merupakan masalah-masalah fiqh yang turut dibincangkan dalam kitab-kitab aqidah.

Mengapa demikian? Dalam kitab aqidah, khususnya kitab-kitab aqidah yang mukhtaṣar (ringkas), ulama’ aqidah meletakkan masalah fiqh ini kerana bagi mereka yang keliru, mereka sukar menjelaskan kaitan antara masalah fiqh yang merujuk kepada hukum hakam fiqh atau fiqh dengan aqidah. Jika kita berikan isu ini kepada orang yang cetek atau dangkal pengetahuan, mereka akan keliru. Contohnya, orang yang membezakan antara aqidah al-Imām al-Shāfi‘ī dengan fiqh, ia adalah dangkal, dan orang seperti itu perlu terus belajar kerana tidak layak memberi kenyataan. Malangnya, ramai yang begitu, yang tidak tahu tetapi berlagak tahu, atau memusuhi apa yang tidak difahami. Allāhul musta’ān.

Jadi, daripada perkara 33 hingga 37 tersebut, membicarakan hukuman rejam dan isu lain seperti al-Masḥu ‘alā al-Khuffayn (المسح على الخفين) menyapu atas kedua-dua belah khuf, Taqṣīr aṣ-Ṣalāh fī as-Safar (تقصير الصلاة في السفر) mengqasar solat ketika musafir, aṣ-Ṣawm fī as-Safar (الصوم في السفر) puasa ketika bermusafir atau berbuka, dan solat memakai Sarāwīl (seluar) — semua itu adalah masā’il fiqhiyyah.

 

Kenapa ulama ahli sunnah meletakkan perbahasan fiqh dalam kitab aqidah?

Kenapa ulama kurun ke-3 dan ke-4 hijrah serta lebih awal meletakkan masalah fiqh ini ke dalam perbahasan aqidah? Jawapannya kerana ulama ahli sunnah meletakkan topik fiqh ini dalam kitab aqidah untuk menyelisihi pendapat golongan ahli bid‘ah yang menyalahi ahli sunnah wal jamaah dalam masalah-masalah tersebut. Bukan bertujuan membincangkan perincian fiqh, tetapi untuk membantah penolakan dan pertentangan yang dilakukan oleh ahli bid‘ah terhadap ahli sunnah.

Contohnya, hukuman rejam adalah perkara yang dipersetujui oleh ahli sunnah sebagai thābit dengan al-Quran, Sunnah dan Ijma’. Maka kita akan jawab syubhat orang yang kata tidak ada hukum rejam dalam al-Quran itu adalah syubhat yang sudah lapuk dan tidak valid lagi. Penolakan tersebut berpunca daripada kejahilan dalam memahami al-Quran dan hukum hakam yang terkandung dalamnya, termasuk isu nasakh dan mansūkh.

Kenapa ulama ahli sunnah memasukkan topik rejam dalam kitab aqidah? Kerana pada zaman penulisan kitab-kitab aqidah, berlaku penentangan dan penolakan terhadap hukum-hakam yang telah dithābitkan dalam al-Quran, Sunnah dan Ijma’. Maka ulama aqidah memasukkan perkara-perkara yang ditolak oleh ahli bid‘ah tersebut sebagai bukti perbezaan antara ahli sunnah dan ahli bid‘ah.

Maka apabila kita menolak penolakan ahli bid‘ah terhadap perkara yang telah thābit, itu satu bentuk perbezaan akidah antara kita dengan mereka. Jika kita tidak menyebut hukum rejam, apa bezanya kita dengan mereka? Maka dalam lafaz Al-Barbahari disebut:

والرجم حق

“Hukuman rejam itu benar.”

Maksudnya, penetapan hukum itu adalah akidah. Sama seperti dalam perbahasan syurga dan neraka, yang Nabi ﷺ sebut dalam doa baginda ketika bangkit malam:

وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ

(Syurga itu benar dan neraka itu benar)[2]

Apabila kita menetapkan sesuatu yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul, kita berkata bahawa perkara itu benar, sahih dan valid. Contohnya hukum rejam ke atas penzina muḥṣan (yang telah menikah). Penetapan hukum ini adalah akidah.

Begitu juga dengan al-Masḥu ‘alā al-Khuffayn (المسح على الخفين) yang merupakan sunnah, iaitu menyapu air wuduk di atas kedua-dua belah khuf. Masalah ini juga dibincangkan dalam kitab aqidah kerana adanya golongan yang menentang atau menolak hukum tersebut.

Seperti yang disebut oleh Shaykhul Islam Ibn Taymiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ dalam Sharḥ al-‘Aqīdah al-Asfahānīyah:

ومن شأن المصنفين في العقائد المختصرة على مذهب أهل السنة والجماعة أن يذكروا ما يتميز به أهل السنة والجماعة عن الكفار والمبتدعين

“Dan termasuk kebiasaan para penulis dalam kitab-kitab akidah ringkas menurut mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah ialah mereka menyebut perkara-perkara yang membezakan Ahlus Sunnah wal Jamaah daripada orang kafir dan ahli bid‘ah.”[3]

Contohnya seperti hukum rejam yang ditolak oleh golongan Khawarij dan sebahagian Mu’tazilah kerana alasan tidak terdapat dalam al-Quran.

Begitu juga isu lain seperti hijab, yang mana ahli sunnah menegaskan kewajipannya kerana terdapat penolakan dalam masyarakat. Maka membela perkara ini adalah tuntutan akidah.

Begitu juga dalam isu al-walā’ wal-barā’ yang merupakan asas dalam akidah. Penentangan terhadap amar makruf dan nahi munkar juga adalah penentangan terhadap akidah.

Demikianlah banyak contoh situasi di mana penegasan dan pembelaan terhadap hukum atau amalan tertentu menjadi sebahagian dari akidah kerana adanya penolakan daripada golongan yang menyimpang.

Dalam kitab ini, al-Imām al-Barbahārī رَحِمَهُ اللَّهُ menyebut secara ringkas perkara-perkara fiqh tersebut termasuk hukuman rejam, kerana zaman itu terdapat penolakan dan bantahan terhadap perkara ini. Contohnya hukuman rejam, menyapu air wuduk di atas khuf, mengqasar solat waktu musafir, solat memakai seluar, dan lain-lain yang ditolak oleh ahli bid‘ah.

Rejam merupakan hukum hak yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya ke atas pelaku zina muḥṣan. Ini merupakan pegangan ulama ahli sunnah sebagai menyelisihi golongan Khawarij, Mu’tazilah dan lain-lain yang menolak hukum ini.

 

Dalil keberadaan hukuman rejam ini selain daripada al-Quran (dengan ayat yang mansūkh tilawahnya tetapi kekal hukum), adalah ḥadīth ṣaḥīḥ:

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ يَقُولُ : قَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ وَهُوَ جَالِسٌ عَلَى مِنْبَرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْحَقِّ، وَأَنْزَلَ عَلَيْهِ الْكِتَابَ، فَكَانَ مِمَّا أُنْزِلَ عَلَيْهِ آيَةُ الرَّجْمِ، قَرَأْنَاهَا، وَوَعَيْنَاهَا، وَعَقَلْنَاهَا، فَرَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَرَجَمْنَا بَعْدَهُ، فَأَخْشَى إِنْ طَالَ بِالنَّاسِ زَمَانٌ أَنْ يَقُولَ قَائِلٌ : مَا نَجِدُ الرَّجْمَ فِي كِتَابِ اللَّهِ. فَيَضِلُّوا بِتَرْكِ فَرِيضَةٍ أَنْزَلَهَا اللَّهُ، وَإِنَّ الرَّجْمَ فِي كِتَابِ اللَّهِ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَى إِذَا أَحْصَنَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ، إِذَا قَامَتِ الْبَيِّنَةُ، أَوْ كَانَ الْحَبَلُ، أَوْ الِاعْتِرَافُ

“‘Abdullāh bin ‘Abbās berkata: Telah berkata ‘Umar bin al-Khaṭṭāb sambil duduk di atas mimbar Rasūlullāh ﷺ:

Sesungguhnya Allāh telah mengutuskan Muḥammad ﷺ dengan kebenaran, dan menurunkan kepadanya kitab (Al-Qur‘ān), di antaranya adalah ayat rajam. Kami membacanya, memahaminya, dan mengerti ayat itu. Rasūlullāh ﷺ telah melaksanakan hukuman rajam, dan kami juga melaksanakan hukuman rajam selepas baginda. Aku takut jika masa umat manusia berlalu lama, akan muncul seseorang yang berkata: ‘Kami tidak menemui hukum rajam dalam kitab Allāh.’ Maka mereka akan sesat kerana meninggalkan kewajiban yang Allāh turunkan. Sesungguhnya hukum rajam itu adalah benar dalam kitab Allah ke atas sesiapa yang berzina muḥṣan, lelaki atau wanita, apabila terdapat bukti yang jelas, atau kehamilan, atau pengakuan.”[4]

Maksudnya ayat rejam memang pernah dibaca dan difahami oleh para sahabat walaupun sekarang, tilawah ayat tersebut telah dimansūkhkan tetapi hukumnya kekal.

Penolakan hukum rejam oleh sebahagian golongan hari ini atau sebelumnya adalah kerana kejahilan dan hawa nafsu, seperti golongan Khawarij dan Mu’tazilah pada zaman dahulu.

Hadis-hadis yang menerangkan pelaksanaan hukuman rejam oleh Nabi ﷺ dan para sahabat adalah banyak, dan hukumnya dianggap mencapai tahap mutawatir, atau hampir mutawatir, dengan perawi dari kalangan sahabat dan tabi‘in.

 

Kisah orang-orang Yahudi datang kepada Rasūlullāh untuk isu rejam

Ramai orang hari ini yang membaca al-Quran dan mengatakan mereka tidak menjumpai ayat rajam, lalu menolak hukum tersebut. Ini berpunca daripada ketidakfahaman terhadap sejarah penurunan dan penyusunan al-Quran, serta tafsiran para sahabat.

Nabi ﷺ dibawakan Taurat yang mengandungi ayat rajam ketika orang-orang Yahudi datang lalu dibuktikan bahawa hukum tersebut memang ada dalam kitab mereka, dan para sahabat membacanya. Namun, ayat tersebut ditutup oleh sebahagian mereka (seperti yang dijelaskan oleh Abdullāh bin Salām).

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، أَنَّ الْيَهُودَ جَاءُوا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرُوا لَهُ أَنَّ رَجُلًا مِنْهُمْ وَامْرَأَةً زَنَيَا، فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَا تَجِدُونَ فِي التَّوْرَاةِ فِي شَأْنِ الرَّجْمِ ؟ ” فَقَالُوا : نَفْضَحُهُمْ وَيُجْلَدُونَ. فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَلَامٍ : كَذَبْتُمْ، إِنَّ فِيهَا الرَّجْمَ. فَأَتَوْا بِالتَّوْرَاةِ فَنَشَرُوهَا، فَوَضَعَ أَحَدُهُمْ يَدَهُ عَلَى آيَةِ الرَّجْمِ، فَقَرَأَ مَا قَبْلَهَا وَمَا بَعْدَهَا، فَقَالَ لَهُ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَلَامٍ : ارْفَعْ يَدَكَ. فَرَفَعَ يَدَهُ فَإِذَا فِيهَا آيَةُ الرَّجْمِ، فَقَالُوا : صَدَقَ يَا مُحَمَّدُ، فِيهَا آيَةُ الرَّجْمِ. فَأَمَرَ بِهِمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرُجِمَا. قَالَ عَبْدُ اللَّهِ : فَرَأَيْتُ الرَّجُلَ يَجْنَأُ عَلَى الْمَرْأَةِ يَقِيهَا الْحِجَارَةَ

“Daripada ‘Abdullāh bin ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, bahawa orang-orang Yahudi datang kepada Rasūlullāh ﷺ dan memberitahu baginda bahawa seorang lelaki dan seorang wanita daripada mereka telah berzina. Rasūlullāh ﷺ bertanya kepada mereka: ‘Apa yang kamu dapati dalam Taurat berkaitan dengan hukum rajam?’ Mereka menjawab: ‘Kami akan mendedahkan mereka dan mereka akan disebat.’ Kemudian Abdullāh bin Salām berkata kepada mereka: ‘Kamu berdusta, sesungguhnya dalam Taurat ada ayat tentang rajam.’ Mereka membawa Taurat dan membukanya, lalu seorang daripada mereka meletakkan tangannya di atas ayat rajam supaya tidak dibaca, lalu membaca ayat sebelum dan selepasnya sahaja. Abdullāh bin Salām berkata kepadanya: ‘Angkat tanganmu.’ Maka dia mengangkat tangannya dan ternyata di situ ada ayat rajam. Mereka berkata: ‘Muḥammad benar, di dalamnya ada ayat rajam.’ Kemudian Rasūlullāh ﷺ memerintahkan supaya kedua-duanya dirajam. Abdullāh berkata: ‘Aku melihat lelaki itu menahan wanita itu untuk melindunginya daripada dilempar dengan batu.’”[5]

Ini menunjukkan bahawa penolakan hukuman rejam atas alasan ‘tidak ada dalam al-Quran’ adalah berasas pada ketidakfahaman dan hawa nafsu yang mengelirukan. Orang yang benar-benar mengikut pemahaman para sahabat tidak akan sesat, kerana mereka mengikuti pemahaman yang disampaikan oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabat.

Hukuman rejam adalah hak Allah dan ketetapan Rasulullah ﷺ yang wajib dilaksanakan ke atas pelaku zina muḥṣan apabila dithābitkan bukti dengan jelas. Ini adalah pegangan akidah ahli sunnah wal jamaah dan menandakan perbezaan mereka dengan ahli bida‘ah dan golongan yang menolak hukum ini.

Kita sekarang generasi ChatGPT. Dia kata, ‘saya dah cari tak jumpa ayat rejam dalam Quran’. Memang tak jumpa sebab zaman kamu bukan zaman turunnya al-Quran. Sebab itu kena ikut sahabat. Wajib ikut pemahaman sahabat. Kalau tak, kita sesat.

 

Isu kejahilan dan kebergantungan kepada AI dalam konteks kefahaman agama

Yang jahil. Yang jahil tetap jahil lah. Sehinggalah dia menemui ilmu. Sama ada melalui pembelajaran, pembacaan ataupun pertanyaan. Allah Ta‘ala berfirman:

فَاسْألُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

Bukan dia pandai-pandai buat ulasan sendiri. Rata-rata yang kita tengok zaman sekarang ni, yang banyak kejahilan ni yang tersebar. Sebab takabbur, sombong, jahil. Kemudian rasa cukup dengan apa yang dia ada. Antara makna bakhil, dia tak mahu infakkan harta benda dan tak mahu belajar. Tak mahu infakkan harta benda dia untuk fīsabīlillāh.

وأمَّا مَن بَخِلَ وَاسْتَغْنَى

“Sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya” (Surah al-Lail, ayat 8)

Wastaghna maknanya dia rasa cukup. Dia tak perlukan kepada Allah. Dia tak perlukan bantuan Allah. Dia rasa dia cukup. Termasuk istighna’ yang ada dalam kalangan ramai manusia hari ni adalah antaranya mereka rasa cukup dengan maklumat yang mereka cari di Google ataupun ChatGPT ataupun AI yang ada zaman sekarang ni.

Dia rasa cukup lah, ‘Aku boleh search dekat ChatGPT, tak payah belajar lah.’ Kalau orang bawa hadith, dia kata, ‘Aku check hadis ini kat ChatGPT. ChatGPT kata hadith ni dha’if. Cukup lah.’ Padahal, hamba Allah yang kata hadith tu sahih, dia rujuk kitab. Dia bukan rujuk satu ṭuruq, ada banyak lagi ṭuruq yang boleh menaikkan darjat hadith itu menjadi hasan.

Dia duduk gaduh, ‘Kalau aku check dekat ChatGPT, ChatGPT kata dha’if.” Memanglah, ChatGPT bukan cerdik pun. Bodoh juga. Lagi bodoh daripada manusia sebenarnya. Sebab dia hanya bergantung kepada data yang dihimpunkan. Kalau kamu bodoh, ChatGPT kamu pun bodoh juga. Tapi kalau kamu cerdik, ChatGPT kamu akan jadi cerdik. ChatGPT ni umpama macam tunggangan kita. Orang suruhan kita. Kalau kita cerdik, kita akan tunggang dia. Tapi kalau kita bodoh, dia pun akan tunggang kita. Bodoh sama dengan kita, atau lebih bodoh.

Jadi ingat eh, ni pesanan kepada orang yang nak belajar agama: rujuk ChatGPT? Jangan jadi bodoh. Dia rasa cukup lah. Sampai kalau dia masuk kelas pun dia nak check, dia cuba nak ‘pairing’ apa yang ustaz ajar. Kalau ustaz tu bodoh juga tak apa lah. Ustaz tu ajar hadith yang memang jelas-jelas palsu. Kalau dia ada ilmu, dia tahu benda tu ngarut dan sebagainya, tak apa. Tapi kalau ustaz tu atau guru dia tu orang yang bukan mengajar dengan ilham semata, ada rujukan, dia belajar lama, ada disiplin dia dan sebagainya, dia nak uji macam tu – salah lah.

Sebab tu ana kata ChatGPT ni umpama macam jin kita, qarin. Dia refleks pada kita. Kalau kita cerdik, kita boleh gunakan dia. Tunggang dia. Dalam masalah dunia, kita tunggang dia. Tapi kalau kita bodoh, dia tunggang kita.

Apa contoh orang yang kena tunggang dengan ChatGPT? Isu yang semua orang nak tukar gambar jadi Ghibli-style. Habis gambar-gambar isteri dia masuk, gambar anak dia masuk. Fikirlah balik. Itu privasi kot. Kau dah bagi gambar tu dekat satu entiti yang kau tak tahu apa yang dia nak proseskan daripada gambar isteri kau, anak kau. Memanglah ada orang kata ‘semua phone sekarang ni pun kita dah bagi data kat mereka’ – ya, tapi at least masih lagi ada privacy tu.

Maksudnya sebab kita ikut trend. Tak memikir panjang. Apa hukum pun tak fikir. Terlampau nak ikut trend sampai tak fikir. Orang buat, kita pun nak buat. Relax. Kalau ada orang ikut trend, kita kena delete dulu. Jangan terus nak ikut.

Itu contoh nak tunjuk betapa kita ni sebenarnya yang kena kawal ChatGPT kita. Dia macam Google. ChatGPT ni sekarang tahun 2025 ni, tahap dia macam Google tahun 90-an atau 2000-an. Orang sekarang dah tak pakai Google dah, orang terus pakai ChatGPT. Dah jadi enjin pencarian yang dimudahkan oleh Allah Ta‘ala kepada kita.

Jadi gunakanlah dalam rangka kebaikan. Bukan untuk perkara maksiat atau larangan. Dalam urusan dunia boleh guna. Tapi dalam masalah agama, jangan tanya ChatGPT. Boleh nak dapat maklumat, tapi jangan rasa itulah maklumat paling tepat. Sebab dia pun tak cerdik lagi. Dia banyak lagi kena belajar.

 

Penegasan dan Ketetapan Hukum Rajam serta Keabsahannya dalam Syariat

Kalau kita lihat kembali penegakan ataupun pelaksanaan hukuman rejam oleh Nabi ﷺ, ia adalah hak yang thābit. Dan thābit ini disebut sebagai thubūt qat‘ī. Ia thābit secara qat‘ī, maknanya hukum tersebut qat‘ī al-thubūt, bukan ẓannī.

Ada orang yang cuba main dengan istilah dan mengatakan ia zannī sebab hadis itu diriwayatkan oleh ‘Umar, dan kerana ia termasuk dalam Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, mereka kata hadith itu ẓannī. Tapi ini sebenarnya satu bentuk penipuan. Hakikatnya, hukum ini qat‘ī al-thubūt. Ia thābit secara qat‘ī dan juga dari segi naql (nukilan) daripada para sahabat dan tābi‘īn. Ini adalah pandangan yang dipegang oleh fuqahā’ dan juga imam-imam mazhab yang empat serta pengikut-pengikut mereka.

Dari sudut istidlāl al-syar‘ī, dari segi dalil syara‘, ia telah mencapai tahap mashhūr, bahkan hampir mutawātir. Bermakna, dari segi sanadnya, ia diriwayatkan oleh ramai sahabat dari Nabi ﷺ. Para ulama hadith menyebut bahawa riwayat tentang hukum rajam ini hampir mencapai had tawātur. Ini bermakna daripada setiap ṭabaqāt (peringkat) perawi mustahil ada pemalsuan.

Antara sahabat yang meriwayatkan tentang hukuman rejam ini sangat ramai. Antaranya:

  • Jābir ibn ‘Abdillāh
  • ‘Alī bin Abī Ṭālib
  • ‘Umar bin al-Khaṭṭāb
  • Zayd bin Khālid al-Juhanī
  • Abū Hurayrah
  • Ibn ‘Abbās
  • ‘Abdullāh ibn ‘Umar
  • Ibn Abī Awfā
  • ‘Ubādah ibn al-Ṣāmit
  • Al-Barā’ ibn ‘Āzib

Dan ramai lagi. Bukan hanya dalam kitab-kitab hadith sahih sahaja, tetapi juga dalam kitab-kitab sunan dan selainnya seperti al-Muṣannaf, al-Muwaṭṭa’ Imām Mālik, Jāmi‘ al-Tirmidhī, Abū Dāwud dan sebagainya. Banyak sangat.

Dan hukuman rejam ini juga dithabitkan melalui ayat yang dimansuhkan lafaznya – mansūkh al-tilāwah. Kalau orang tanya kita apa dalil yang menunjukkan adanya hukum rajam, jawapannya ialah dalil daripada hadith dan juga daripada ayat yang dimansuhkan lafaznya tetapi hukumnya kekal.

Apakah bacaan ayat itu? Ayat yang dimansukhkan itu ialah:

الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إِذَا زَنَيَا فَارْجُمُوهُمَا الْبَتَّةَ نَكَالاً مِنَ اللهِ وَ اللهُ عَزِيْزٌ حَكِيْمٌ

 “Lelaki yang tua (maksudnya: yang sudah berkahwin) dan wanita yang tua (maksudnya: yang sudah berkahwin) jika berzina, maka rejamlah keduanya sungguh-sungguh, sebagai hukuman yang mengandung pelajaran dari Allah, dan Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.”[6]

Ayat ini tidak ada dalam mushaf al-Qur’an sekarang. Itulah yang Umar kata: ‘Aku takut, nanti akan ada orang yang kata tak jumpa ayat rejam dalam kitab Allah.’ Ketakutan Umar itu menjadi kenyataan pada hari ini. Kita sedang menghadapi keadaan itu sekarang.

Ulama-ulama ahli sunnah sejak dahulu telah menghadapi isu ini. Tapi kita lihat sahabat sangat teguh dalam agama. Mereka tidak berbolak-balik, tidak berubah walaupun ramai orang menolak. Kita tetap ikut manhaj sahabat, aqidah sahabat.

Ada pula doktor PhD kata tak ada dalam Qur’an. Kita kena celikkan masyarakat awam – agama ini bukan berpandukan gelaran profesor, doktor atau PhD, tetapi berpandukan Qur’an, Sunnah dan manhaj sahabat. Kalau tidak, masyarakat akan jadi keliru.

Kalau ada ustaz atau doktor kata tak ada dalam Qur’an, maka kita tanya – nak ikut siapa? Sahabat Nabi atau doktor tersebut? Jawapannya satu: sahabat Nabi itu orang yang dijamin syurga. Tapi doktor yang kamu ikut itu belum tentu syurga. Kita tak tahu nasib kita, tapi sahabat Nabi telah dijanjikan syurga oleh Allah.

Ayat tadi mansūkh tilāwah, tapi hukumnya kekal. Ini disebut oleh Umar bin al-Khaṭṭāb: ‘Kami membacanya, memahaminya, dan mengerti ayat itu. Rasūlullāh ﷺ telah melaksanakan hukuman rajam’. Jadi hukum tersebut kekal walaupun lafaznya dimansukhkan. Rasulullah ﷺ sendiri yang mengekalkan pelaksanaannya.

Siapa yang kekalkan hukum itu? Rasulullah ﷺ. Siapa yang perintahkan Nabi untuk mengekalkan? Allah ta‘ala. Maka ini cara kita faham. Tapi kalau kita tolak hadith Umar, kata tak sahih – kita akan kena tolak banyak lagi. Semua akan ditolak.

Kalau kita nak jawab keraguan orang yang kata tak ada dalam Qur’an, sebenarnya ada satu lagi ayat tetapi kena baca dengan pemahaman sahabat. Kalau baca sendiri, baca terjemahan tanpa pemahaman sahabat, memang tak akan faham.

Ayat dalam Surah Āli ‘Imrān ayat 23, Allah berfirman:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ أُوتُوا نَصِيبًا مِّنَ الْكِتَابِ يُدْعَوْنَ إِلَىٰ كِتَابِ اللَّهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ يَتَوَلَّىٰ فَرِيقٌ مِّنْهُمْ وَهُم مُّعْرِضُونَ

“Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang (Yahudi) yang telah diberikan sebahagian dari Kitab Taurat, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) di antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka berpaling ingkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu).”

Ayat ini diturunkan kepada siapa? Kepada orang Yahudi, sebagaimana yang kita baca dalam riwayat Ibn ‘Abbās tadi – tentang lelaki dan wanita Yahudi yang berzina, lalu Nabi ﷺ panggil mereka dan suruh bawa Taurat yang mereka sembunyikan. Abdullāh bin Salām suruh angkat tangan yang menutup ayat itu – maka ada di situ ayat tentang rajam.

Jadi bila ada orang kata tak ada hukum rajam dalam Qur’an, itu sebab dia tak faham. Dia kata tak ada sebab dia sombong. Kita kata, Qur’an bukan turun zaman kita ni. Al-Qur’an bukan turun tahun 2025. Ia turun kepada Nabi ﷺ selama 23 tahun.

Shaykh al-Shinqīṭī dalam Aḍwā’ al-Bayān menyebut bahawa riwayat Ibn ‘Abbās menunjukkan hukuman rejam ini diambil daripada ayat lain yang muhkamah, bukan mansūkhah:

وروي عن ابن عباس – رضي الله عنهما – أن حكم الرجم مأخوذ أيضا من آية أخرى محكمة غير منسوخة التلاوة، وهي قوله تعالى: {أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ أُوتُوا نَصِيباً مِنَ الْكِتَابِ يُدْعَوْنَ إِلَى كِتَابِ اللَّهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ يَتَوَلَّى فَرِيقٌ مِنْهُمْ وَهُمْ مُعْرِضُونَ (٢٣)} فإنها نزلت في اليهودي واليهودية اللذين زنيا وهما محصنان

“Dan diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbās – radhiyallāhu ‘anhumā – bahawa hukum rajam juga diambil daripada ayat lain yang muhkam (jelas) dan tidak dimansuhkan tilawahnya, iaitu firman Allah Ta‘ala:

“Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang (Yahudi) yang telah diberikan sebahagian dari Kitab Taurat, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) di antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka berpaling ingkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu).” (Surah Āli ‘Imrān, ayat 23)

Sesungguhnya ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki dan wanita Yahudi yang telah berzina, dan kedua-duanya adalah muḥṣan (telah berkahwin).”[7]

Jadi ringkasnya, orang yang kata tak ada hukuman rejam dalam al-Qur’an – salah. Ayat rejam ada, tapi dimansuhkan tilawahnya, bukan hukumnya. Hadith sahih banyak, sahabat ramai yang riwayatkan, dan pelaksanaannya disaksikan oleh Nabi ﷺ dan para sahabat. Kalau kamu ikut al-Qur’an dengan kepala sendiri, kamu akan sesat. Tapi kalau kamu ikut pemahaman Nabi dan sahabat, kamu akan dapat jawapan yang benar.

Masalahnya, ramai orang hari ini rasa dia boleh faham sendiri al-Qur’an. ‘Boleh faham terjemahan sendiri lah.’ Dia terpedaya. Akhirnya dia berpaling daripada manhaj sahabat.

 

Sesi Soal Jawab

Soalan Pertama

Kenapa ada orang bertanya, “Kenapa Islam terlalu keras contohnya rejam orang sampai mati? Tak ada ruang taubat ke?”

Jawapan  Soalan Pertama

Kekeliruan ini sebenarnya berpunca daripada salah faham terhadap hukum Islam itu sendiri. Salah faham ini berlaku kerana mereka tidak melihat tujuan dan hikmah pelaksanaan hukum tersebut secara menyeluruh. Selain itu, kurangnya akses dan pengetahuan mendalam mengenai nas-nas agama menyebabkan mereka hanya melihat pada permukaan sahaja. Mereka melihat orang Islam seolah-olah suka memukul, lalu membuat kesimpulan bahawa Islam itu keras, sedangkan sebenarnya Al-Quran tidak pernah memerintahkan pukulan tanpa sebab yang syar’i.

Hukuman rejam tidak berlaku secara sembarangan dan terus dilaksanakan. Dalam hadis ‘Umar bin al-Khaṭṭāb yang telah kita sebutkan sebelum ini, terdapat syarat-syarat yang ketat untuk ditetapkan hukuman rejam, antaranya:

  • Al-I’tiraf (pengakuan) yang terakhir,
  • Al-Bayinah (bukti) yang jelas,
  • Al-Hubal / Al-Hablu (kehamilan) sebagai bukti,
  • Ketiga-tiga ini mesti dipenuhi.

Dalam Ṣaḥīḥ Muslim, terdapat hadis panjang berkaitan Kitab al-Hudud, yang menerangkan bahawa seseorang yang mengaku berzina datang kepada Nabi ﷺ, lalu Nabi memerintahkan dia untuk bertaubat. Nabi ﷺ berkata:

وَيْحَكَ ارْجِعْ فَاسْتَغْفِرِ اللَّهَ وَتُبْ إِلَيْهِ

“Celakalah kamu! Kembalilah, mohonlah ampun kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya.”

Ini menunjukkan bahawa Nabi tidak terus melaksanakan hukuman, tetapi memberi ruang taubat terlebih dahulu.

Bahkan, Mā‘iz bin Mālik datang berulang kali kepada Nabi ﷺ mengaku berzina, dan setiap kali itu Nabi menyuruhnya kembali bertaubat. Hanya setelah pengakuan yang tegas dan tidak berubah barulah hukuman dijatuhkan. Ini menunjukkan keadilan dan rahmat Islam.

Islam tidak menggalakkan pendedahan dosa peribadi secara terperinci kepada umum. Jika seseorang mengaku dosa kepada guru agama, tidak perlu ditanya butiran dosa tersebut. Cukuplah dia diajar untuk bertaubat dengan taubat nasuha, iaitu taubat dengan penyesalan sebenar dan azam untuk tidak mengulangi.

Sebaliknya, mengintip atau mengintai perbuatan maksiat orang lain adalah dilarang dalam Islam. Contohnya, pejabat agama tidak dibenarkan menangkap dan memalukan pelaku maksiat dengan merekodkan gambar atau video mereka.

Jika ada laporan maksiat, tegurlah secara baik dan rahsia, bukan disebarkan kepada umum sehingga mempermalukan pelaku. Ini adalah sunnah dan ajaran Islam yang menjaga maruah individu.

Dalam masyarakat kini, ada yang salah faham dan menormalisasi perzinaan, malah ada yang memuliakan pelaku zina. Islam mengajar supaya kita menjauhi mereka dan tidak bergaul dengan mereka yang suka berzina. Sibukkan diri dengan amalan baik, istighfar, dan taubat kepada Allah.

Bukti kehamilan bagi wanita yang berzina juga menjadi salah satu syarat tidak boleh melaksanakan hukuman rajam sebelum wanita itu melahirkan dan menyusukan anaknya sehingga putus susu (sekitar dua tahun). Ini adalah rahmat Islam kepada anak tersebut kerana anak tidak berdosa atas perbuatan ibu bapanya.

Sebagai contoh, apabila wanita itu hamil, hukum rajam ditangguhkan sehingga selepas kelahiran dan penyusuan. Ini menunjukkan sifat Islam yang sangat berhikmah dan berperikemanusiaan.

Secara keseluruhan, Islam tidaklah keras tanpa hikmah. Pelaksanaan hukum adalah berdasarkan proses yang jelas, adil dan penuh rahmat, memberikan ruang kepada pelaku untuk bertaubat dan kembali ke jalan yang benar.

 

Soalan Kedua

Terdapat sebahagian orang melaungkan “human rights”. Jadi mereka kata kalau orang buat zina suka sama-suka, kenapa nak hukum?

Jawapan Soalan Kedua

Ada sebahagian pihak melaungkan isu hak asasi manusia dan mendakwa bahawa jika perzinaan berlaku atas dasar suka sama suka, maka kenapa perlu dikenakan hukuman? Mereka yang berpegang pada dalil hak asasi manusia ini sering mengemukakan hujah tersebut.

Dalam hal ini, kita perlu muhasabah semula sistem dan tanggungjawab pemerintah dalam melaksanakan hukum Allah, khususnya hudud sebagai prioriti utama. Selain itu, ada juga hukuman lain seperti ta’zir yang boleh dilaksanakan untuk mendidik masyarakat secara berperingkat.

Realiti kini amat membimbangkan apabila data daripada pihak polis di beberapa negeri menunjukkan perzinaan berlaku sejak usia kanak-kanak sekitar 10-11 tahun. Ini termasuk gangguan seksual yang melibatkan orang yang dipercayai seperti keluarga dan saudara terdekat, yang sangat mengerikan.

Masalah ini sebenarnya bermula dari aspek pendidikan. Jika kita hanya fokus pada pelaksanaan hukum tanpa adanya pendidikan yang menyeluruh, maka keberkesanan tidak dapat dicapai. Ramai pemimpin Islam sibuk dengan isu politik antarabangsa, seperti Palestin, tetapi mengabaikan keadaan bahaya yang berlaku di negara sendiri.

Ketika institusi kekeluargaan menjadi keliru dan perzinaan berleluasa, kita hanya melihat halangan besar yang jelas tanpa mengendahkan masalah kecil di depan mata. Oleh itu, perlu muhasabah dan kembali kepada pendidikan Islam dan tarbiyah sebagai asas utama.

Golongan yang mempertahankan zina atas dasar hak asasi manusia sebenarnya terjerumus dalam nafsu yang mendorong kejahatan. Dalam Surah al-Isrā’ ayat 32, Allah berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وسآءَ سَبِيلًا

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

Sunnah Nabi ﷺ turut mengajarkan supaya memisahkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan sejak usia tujuh tahun agar terhindar dari pergaulan bebas.

Ketiadaan pematuhan terhadap perintah asas ini menyebabkan isu pergaulan bebas dan zina berleluasa. Oleh itu, institusi agama seperti Jabatan Agama Islam Negeri (JAKIN) perlu menekankan modul-modul pendidikan yang komprehensif dalam kursus perkahwinan, termasuk pendidikan menjaga ikhtilaf dan pergaulan anak-anak.

Malangnya, kursus perkahwinan sekarang sering kali hanya membincangkan topik asas seperti hak suami isteri dan nafkah, tanpa memberi penekanan terhadap isu sosial yang lebih kritikal seperti pergaulan anak dan pencegahan zina.

Sebahagian besar punca permasalahan ini adalah pengabaian ibu bapa terhadap pengawasan anak-anak, termasuk membiarkan mereka terdedah kepada bahan lucah dan pornografi yang semakin mudah diakses. Ini berlaku bukan sahaja di luar negara, malah terdapat laporan di dalam negara sendiri mengenai guru kantin yang menunjukkan bahan lucah kepada pelajar.

Penggunaan telefon pintar tanpa kawalan juga memburukkan lagi keadaan. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan utama dalam mendidik dan mengawal anak-anak mereka, bukannya menyalahkan sepenuhnya kerajaan atau pihak berkuasa.

Tanggungjawab pendakwaan juga perlu disemak. Banyak badan dakwah Islam seperti YADIM dan JAKIM wujud, tetapi keberkesanan peranan mereka masih diragui kerana kelihatan tidak aktif atau fokus pada isu lain yang kurang penting berbanding pendidikan keluarga.

Selain itu, banyak negara Islam di Timur Tengah juga membincangkan bahaya pornografi yang melanda masyarakat mereka, mengeluarkan data statistik yang menggerunkan, termasuk melihat pornografi di tempat kerja. Situasi ini menggambarkan perlunya usaha serius membanteras masalah ini melalui pendidikan dan kempen kesedaran.

Kesedaran ini perlu bermula dari keluarga dan sekolah kerana anak-anak hari ini sudah tidak selamat seperti dahulu. Pengaruh ibu bapa dan persekitaran keluarga sangat menentukan sikap dan tingkah laku anak-anak.

Kita perlu menangani budaya yang menormalisasi perzinaan dan bahan lucah serta lawak berunsur seks yang semakin diterima ramai, termasuk dalam kalangan pendakwah.

Oleh itu, usaha serius dan bersepadu perlu dilakukan. Ini termasuk menekankan pendidikan tarbiyah, modul pengawasan anak, dan pencegahan gejala sosial sejak awal.

Kesimpulannya, naratif hak asasi manusia yang digunakan untuk membela perbuatan zina tanpa batas harus dilawan dengan penyampaian kefahaman Islam yang sebenar, menegakkan hukum Allah dan mendidik masyarakat supaya menjauhi maksiat. Hukuman dalam Islam adalah rahmat yang memberi peluang taubat, bukan untuk menzalimi.

[1] Halaman 136-137, terbitan Karya PiS.

[2] HR. al-Bukhārī (7385), Muslim (769) dan lain-lain.

[3] Rujuk kitab Sharḥ al-‘Aqīdah al-Asfahānīyah oleh Ibn Taymiyyah, halaman 48

[4] HR. Muslim (1691)

[5] HR. al-Bukhārī (3635) dan lain-lain

[6] Rujuk kitab Fatḥ al-Bārī, jilid 12, halaman 169

[7] Rujuk kitab Aḍwā’ al-Bayān oleh Shaykh al-Shinqīṭī, jilid 1, halaman 370

Shares:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *