Pengenalan

Segala puji bagi Allah ta‘ala atas segala nikmat yang telah dikurniakan kepada kita. Allah ta‘ala ialah al-Akram (ٱلْأَكْرَمُ), sebagaimana yang disebutkan dalam Surah al-‘Alaq, ayat ketiga:

ٱقْرَأْ وَرَبُّكَ ٱلْأَكْرَمُ

“Bacalah dan Tuhanmu Maha Pemurah”

Al-Akram ialah salah satu nama Allah ta‘ala, dan ia disebut dalam surah pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ di Gua Ḥirā’. Dalam tafsir al-Ṭabarī, beliau mentafsirkan “al-Akram” sebagai (ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ), iaitu pada ayat keempat surah yang sama.

ٱلَّذِي عَلَّمَ بالْقَلَمِ

“Yang mengajarkan (manusia) dengan pena”

Shaykh Basmih dalam terjemahannya sangat teliti (daqīq) apabila beliau menterjemahkan al-Qalam bukan sekadar sebagai “pena”, tetapi juga sebagai “tulisan”. Ini bertepatan dengan bahasa Arab yang luas: “al-Qalam” tidak terhad kepada alat tulis, malah merangkumi maksud penulisan itu sendiri.

Dalilnya ialah hadith Nabi ﷺ yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhārī dalam al-Adab al-Mufrad dan juga Imam Aḥmad, menyebut tentang tanda-tanda kiamat:

ظُهُورُ القَلَمِ

Munculnya tulisan yang tersebar luas[1]

Para ulama menafsirkan bahawa antara tanda kiamat ialah tersebarnya penulisan, bukan sesuatu yang tercela semata-mata. Bahkan ianya boleh menjadi sesuatu yang dipuji kerana ia menjadi medium penyebaran ilmu.

Maka, apabila kitab Sharḥ al-Sunnah karya al-Imām al-Barbahārī dapat kita pelajari hari ini melalui edisi terjemahan dan tahqīq dari Pustaka Ilmu Salaf (PiS), ini adalah suatu nikmat besar. Kitab ini telah dipermudahkan untuk kita fahami, disertakan dual language Arab-Melayu, tahqīq, manuskrip dan ulasan.

Antara nikmat Allah ta‘ala kepada kita ialah al-qalam iaitu pena dan tulisan. Maka, perintah “Iqra” dalam Surah al-‘Alaq bukan semata-mata membaca buku secara individu, tetapi turut mencakupi pembelajaran secara talqīn, sebagaimana yang berlaku dalam peristiwa turunnya wahyu pertama, di mana Jibrīl ‘alayhi al-salām tidak membawa kitab, tetapi mengajarkan secara langsung kepada Nabi Muhammad ﷺ.

 

Latar Belakang Kitab Sharḥ al-Sunnah dan Biografi al-Imām al-Barbahārī

Pengenalan Tokoh: al-Imām al-Barbahārī (329H)

Nama penuh beliau ialah al-Ḥasan ibn ‘Alī ibn Khalaf al-Barbahārī, seorang tokoh besar dalam mazhab Ḥanbalī dan merupakan Shaykh al-Ḥanābilah (شيخ الحنابلة), iaitu ketua ulama Hanabilah pada zamannya. Beliau wafat pada tahun 329H dalam keadaan bersembunyi kerana tekanan politik dan fitnah yang dihadapi.

Menurut sebahagian riwayat, beliau hidup antara 232H hingga 329H, menjadikan tempoh hayatnya sekitar 97 tahun. Ada juga pendapat yang menyebut umur beliau sekitar 77 tahun. Perbezaan ini timbul kerana keterbatasan sumber akibat suasana politik yang tidak stabil pada akhir hayat beliau, yang menyebabkan kurangnya dokumentasi biografi yang lengkap.

 

Kitab Sharḥ al-Sunnah: Pengenalan dan Nilai

Kitab Sharḥ al-Sunnah merupakan antara karya besar yang memelihara akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamā‘ah daripada penyelewengan bid‘ah dan tahrīf. Gaya bahasa kitab ini tegas, padat dan berasaskan nas-nas al-Qur’ān, Sunnah dan āthār salaf.

Kitab ini mendapat tempat istimewa dalam tradisi Hanabilah kerana menyatakan prinsip-prinsip akidah secara tegas dan tidak terpengaruh dengan falsafah atau ilmu kalām.

Sebagaimana dinyatakan oleh pentahqiq kitab ini, karya ini telah mendapat perhatian dan terjemahan oleh para penuntut ilmu, bahkan disertakan manuskrip, tahqīq, dan ulasan bagi membantu pemahaman pembaca moden.

 

Tuduhan terhadap Kitab dan Penulis

Sebahagian pihak menuduh kitab ini mengandungi unsur takfīr (تكفير), iaitu mengkafirkan sesama Muslim, serta ghuluw (غلو), melampau dalam menilai individu dan kelompok tertentu. Malah, ada tokoh yang mendakwa kitab ini bukan ditulis oleh al-Barbahārī, sebaliknya oleh Ghulām al-Khalīl al-Bāhilī.

Jawapan terhadap tuduhan ini telah diberikan oleh para muḥaqqiqīn dan penterjemah, khususnya dalam edisi Pustaka Ilmu Salaf, yang telah membuktikan bahawa kitab ini memang berasal daripada al-Barbahārī, berdasarkan riwāyāt dan susur jalur sanad.

Contoh salah faham: terdapat tokoh yang mempertikaikan bagaimana al-Barbahārī boleh menyebut nama Khalīfah Ja‘far al-Mutawakkil (جعفر المتوكل), sedangkan khalifah tersebut hidup sebelum al-Barbahārī. Hakikatnya, jika usia al-Barbahārī menjangkau 97 tahun, beliau telah lahir semasa era pemerintahan al-Mutawakkil (232H–247H), justeru sebutan itu adalah munasabah dan berasas.

 

Sentimen terhadap Kitab: Antara Cinta dan Kebencian

Kitab ini disifatkan sebagai sā‘iqah ‘alā ahl al-bid‘ah wa al-ahwā’ (صاعقة على أهل البدع والأهواء), iaitu seperti petir yang menyambar golongan bid‘ah. Justeru itu, tidak hairan jika kitab ini ditolak oleh mereka yang terkesan dengan pendedahan dan kritikan terhadap ajaran sesat atau penyelewengan akidah.

Namun begitu, Sharḥ al-Sunnah tidak mengandungi unsur politik atau propaganda tertentu sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pengkritik yang mengaitkan penerbitan kitab ini dengan agenda politik sesebuah negara.

Apa yang jelas, kitab ini adalah warisan penting dalam khazanah ilmu akidah Islamiyyah yang disusun berdasarkan pendekatan manhaj salaf.

 

Analisis Sejarah Politik Zaman al-Imām al-Barbahārī dan Kesan terhadap Penulisan Akidah

Pemerintahan Bani ‘Abbāsiyyah: Tiga Fasa

Untuk memahami konteks penulisan Sharḥ al-Sunnah, kita perlu memahami struktur sejarah pemerintahan al-Dawlah al-‘Abbāsiyyah (الدولة العباسية) yang terbahagi kepada tiga fasa utama:

Fasa Pertama: al-‘Aṣr al-Dhahabī (العصر الذهبي) – Zaman kegemilangan dan kekuatan.

  • Bermula pada tahun 132H – 232H dengan Khalifah Abū al-‘Abbās al-Saffāḥ (أبو العباس السفاح).
  • Diikuti oleh khalifah seperti Abū Ja‘far al-Manṣūr, Hārūn al-Rashīd, al-Ma’mūn, al-Mu‘taṣim, dan lain-lain.
  • Akidah khalifah-khalifah awal masih dalam lingkungan Ahl al-Sunnah wa al-Jamā‘ah.

Fasa Kedua: Nufūdh al-Atrāk (نفوذ الأتراك) – Pengaruh kuat dari bangsa Turki.

  • Bermula pada era al-Mutawakkil ‘alā Allāh (المتوكل على الله) hingga zaman al-Muqtafi.
  • Pada fasa inilah al-Barbahārī hidup dan menulis kitabnya.
  • Wujud ketidakstabilan politik: khalifah dibunuh, dilucutkan, dan diganti mengikut kehendak menteri-menteri Turki.

Fasa Ketiga: al-Suqūṭ wa al-Inḥilāl (السقوط والانحلال) – Zaman kejatuhan dan kelemahan.

  • Bermula selepas fasa kedua sehingga kejatuhan Baghdad pada tahun 656H.

 

Ketegangan Politik dan Fitnah Akidah

Fasa kedua menjadi konteks penting dalam memahami ketegasan al-Barbahārī dalam kitabnya. Zaman ini menyaksikan:

  • Pengaruh kuat golongan Mu‘tazilah (المعتزلة), Shī‘ah (الشيعة), dan Bāṭiniyyah (الباطنية) yang menular ke dalam pentadbiran kerajaan.
  • Penindasan terhadap ulama Ahl al-Sunnah, termasuk tekanan terhadap al-Imām Aḥmad ibn Ḥanbal pada zaman fitnah khalq al-Qur’ān (خلق القرآن).
  • Kerajaan memberi ruang kepada perlantikan qāḍī dan wazīr dari kalangan ahli bid‘ah.

 

Kesan terhadap Gaya Penulisan al-Barbahārī

Imām al-Barbahārī menulis dengan gaya tegas, bahkan keras bagi sesetengah pembaca. Hal ini bukanlah aneh atau mencerminkan ekstremisme, sebaliknya:

  • Ia adalah natijah daripada suasana fitnah dan tekanan politik.
  • Gaya bahasa tajrīdī dan langsung, sesuai dengan kaedah salaf dalam menyatakan prinsip akidah dengan jelas.
  • Penulisan beliau menjawab bentuk-bentuk kesesatan yang nyata dan meluas dalam masyarakat ketika itu.

 

Kenapa al-Barbahārī Bersembunyi?

Terdapat tuduhan bahawa al-Barbahārī lari kerana tidak mengamalkan seruan beliau sendiri untuk mentaati pemerintah dan menolak pemberontakan. Jawapan kepada dakwaan ini ialah:

  1. Perintah tidak memberontak tetap terpakai, namun bersembunyi untuk menyelamatkan nyawa daripada fitnah adalah dibenarkan. Ini bukan tanda pengkhianatan kepada prinsip, bahkan satu bentuk hikmah.
  2. Dalam kitabnya, beliau menasihati agar taat kepada pemerintah selagi tidak disuruh melakukan maksiat.
  3. Melarikan diri daripada dizalimi bukan bercanggah dengan larangan khuruj (خروج) ke atas pemerintah.

Al-Barbahārī disembunyikan oleh salah seorang wanita dari keluarga menteri kerajaan ‘Abbāsiyyah sehingga beliau wafat dalam persembunyian. Keadaan ini membuktikan beliau terpaksa bertindak demikian untuk mengelak mudarat lebih besar.

 

Jawapan kepada Tuduhan-tuduhan Terhadap Kitab Sharḥ al-Sunnah dan Relevansinya terhadap Konteks Semasa

Tuduhan Takfīr dan Ghulūw

Sebahagian penentang kitab Syarḥ al-Sunnah menuduh al-Imām al-Barbahārī melakukan takfīr (تكفير), iaitu mengkafirkan individu Muslim tanpa hujah yang sah, dan berlebihan (ghulūw) dalam menghukum orang lain.

Jawapan terhadap tuduhan ini ialah:

  • Penilaian terhadap kandungan kitab ini perlu dilakukan dengan tafaqquh (pendalaman) dan fahm (pemahaman) berdasarkan konteks zaman dan kerosakan akidah yang wujud ketika itu.
  • Kitab ini tidak mengeluarkan manusia dari Islam dengan mudah, bahkan menghuraikan batas-batas al-sunnah wa al-bid‘ah (السنة والبدعة) berdasarkan nas dan athar.
  • Penegasan dalam kitab ini menepati manhaj al-salaf al-ṣāliḥ (السلف الصالح) yang memberi peringatan terhadap penyimpangan yang berlaku.

 

Tuduhan Kitab Ini Bukan Karya al-Barbahārī

Sebilangan tokoh, khususnya yang aktif dalam wacana berbahasa Inggeris, mendakwa kitab ini sebenarnya dikarang oleh Ghulām al-Khalīl al-Bāhilī, dan bukannya al-Barbahārī. Hujah mereka termasuk:

  • Disebutnya nama Khalīfah Ja‘far al-Mutawakkil dalam kitab ini yang didakwa hidup berkurun sebelum al-Barbahārī.
  • Tiada sanad yang sahih secara langsung mengaitkan manuskrip dengan al-Barbahārī.

Jawapan terhadap tuduhan ini ialah:

  • Jika kita mengambil riwayat bahawa al-Barbahārī wafat pada tahun 329H dan hidup selama 97 tahun, maka beliau lahir sekitar tahun 232H, iaitu tahun permulaan pemerintahan al-Mutawakkil.
  • Maka, tidak pelik jika beliau menyebut dan mendoakan al-Mutawakkil kerana beliau hidup dalam zaman tersebut.
  • Tambahan pula, doa terhadap tokoh-tokoh terdahulu bukanlah bermaksud mereka sezaman, sebaliknya ia juga tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap jasa seseorang tokoh terhadap agama.

 

Tuduhan Kitab Ini Digunakan untuk Kepentingan Politik

Antara tuduhan yang dibuat ialah kononnya kitab Sharḥ al-Sunnah digunakan oleh sesetengah pihak untuk:

  • Mengukuhkan kekuasaan pemerintah
  • Menyebarkan doktrin taat membuta tuli
  • Memadam suara kritikal atas nama larangan khurūj (خروج)

Jawapan:

  • Seruan taat kepada pemerintah dalam kitab ini berasaskan nas syarak seperti hadis:

مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ، وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ ومَنْ أَطَاعَ الأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِي وَمَنْ عَصَى الْأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِي
“Sesiapa yang taat kepadaku, maka dia telah taat kepada Allah, dan sesiapa yang derhaka kepadaku, maka dia derhaka kepada Allah. Barang siapa yang taat kepada pemimpin, maka sesungguhnya dia telah taat kepadaku, dan barang siapa yang menderhakai pemimpin, maka sesungguhnya dia telah menderhakai aku.”[2]

  • Namun, ketaatan ini bukan bersifat mutlak. Ia tidak termasuk dalam perkara maksiat. Penolakan terhadap pemberontakan bukan bermaksud membenarkan kezaliman.
  • Kitab ini tidak menggalakkan ketaatan membuta tuli, sebaliknya menyeru kepada kestabilan umat dan menolak fitnah as-silah (fitnah senjata) yang merosakkan agama dan dunia.

 

Isu golongan Ḥanābilah yang Agresif

Terdapat rekod sejarah bahawa sebahagian golongan Ḥanābilah, khususnya golongan awam yang cintakan sunnah dan bersemangat, bertindak kasar terhadap tokoh-tokoh lain seperti:

  • Menyerang al-Imām Ibn Jarīr al-Ṭabarī dengan tuduhan syi‘ah
  • Menghukum keras terhadap golongan yang tidak sependapat

Dalam  isu ini, sama juga dengan pengikut al-Barbahārī yang agresif.

Jawapan:

  • Tindakan ini tidak mewakili prinsip manhaj golongan Ḥanābilah. Seperti mana al-Imām Aḥmad ibn Ḥanbal juga menghadapi masalah pengikut yang melampau.
  • Seorang guru tidak memikul tanggungjawab atas kesalahan anak murid jika telah memberi nasihat dan melarang.
  • Kita wajib membezakan antara kesilapan segelintir pengikut dan isi kandungan sebenar kitab yang penuh dengan dalil dan hikmah.

 

Kesimpulan dan Pengajaran daripada Kitab Syarḥ al-Sunnah untuk Generasi Kini

Mesej Utama Kitab

Kitab Sharḥ al-Sunnah karangan al-Imām al-Barbahārī bukan sekadar teks akidah klasik, tetapi ia adalah warisan pemikiran salafiyyah yang memberi panduan jelas dalam meniti zaman fitnah. Mesej utamanya ialah:

  • Menyucikan akidah daripada bid‘ah dan ta’wīl yang sesat
  • Menegakkan prinsip al-sam‘ wa al-ṭā‘ah (السّمع والطّاعة) kepada pemerintah selagi tidak menyuruh maksiat
  • Menolak pemberontakan (khurūj) yang membawa kepada kehancuran umat
  • Mengajak kepada perpaduan atas dasar sunnah dan bukan ta’assub (تعصّب)

 

Relevansi terhadap Masyarakat Semasa

Dalam konteks masyarakat moden yang sedang berdepan:

  • Kecelaruan pemikiran akidah (al-khawḍ fī al-kalām)
  • Runtuhnya adab terhadap ulama
  • Penyebaran fahaman liberal dan pluralisme agama

… maka kitab ini amat relevan sebagai panduan kepada pendakwah dan penuntut ilmu untuk kembali kepada dasar:

ما كان عليه النبي ﷺ وأصحابه
“Apa yang dipegang oleh Nabi ﷺ dan para sahabatnya.”

Kitab ini juga mengajar kita erti ketegasan dalam prinsip tanpa perlu menjadi kasar, dan mengingatkan bahawa hikmah tidak bermaksud lembik, dan ketegasan tidak bererti ganas.

 

Pengiktirafan Ulama terhadap al-Barbahārī

Walaupun beliau meninggal dalam keadaan bersembunyi akibat tekanan politik, Allah ta‘ala memuliakan jasad dan amalannya. Antara kisah yang masyhur:

  • Beliau disolatkan oleh golongan berpakaian putih dan hijau yang tidak dikenali
  • Ulama-ulama selepas beliau mendoakan dan menukilkan pendapatnya dengan penuh penghormatan

Ini tanda bahawa orang yang ikhlas memperjuangkan agama akan dimuliakan Allah ta‘ala walaupun tidak dipuja manusia ketika hidup.

[1] HR. Aḥmad (3870)

[2] HR. al-Bukhārī (7137), Muslim (1835)

Shares:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *