Soalan:

Ada sebuah hadis qudsi yang menyebutkan bahawa, ada seorang lelaki yg apabila dia dihisab, tetapi tidak dijumpai suatu apapun kebaikannya. Sebaliknya didapati bahawa, lelaki tersebut ada membebaskan orang yg dalam kesulitan daripada membayar hutangnya. Lalu Allah membebaskan dia daripada azab.

  1. Adakah seorang itu walaupun dia kafir tapi ada dalam hatinya secebis kebaikan, dia boleh masuk juga ke syurga? Tidakkah ia bertentangan dengan kefahaman bahawa orang kafir kekal di dalam neraka?
  2. Adakah lelaki tersebut yang tidak melakukan sebarang kebaikan, termasuk dia juga tidak menunaikan solat dan kewajipan-kewajipan lain?

Mohon pencerahan.

Jawapan:

Hadis ini daripada Abu Hurayrah radiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

إِنَّ رَجُلاً لَمْ يَعْمَلْ خَيْرًا قَطُّ وَكَانَ يُدَايِنُ النَّاسَ فَيَقُولُ لِرَسُولِهِ خُذْ مَا تَيَسَّرَ وَاتْرُكْ مَا عَسُرَ وَتَجَاوَزْ لَعَلَّ اللَّهَ تَعَالَى أَنْ يَتَجَاوَزَ عَنَّا فَلَمَّا هَلَكَ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُ هَلْ عَمِلْتَ خَيْرًا قَطُّ قَالَ لاَ إِلاَّ أَنَّهُ كَانَ لِي غُلاَمٌ وَكُنْتُ أُدَايِنُ النَّاسَ فَإِذَا بَعَثْتُهُ لِيَتَقَاضَى قُلْتُ لَهُ خُذْ مَا تَيَسَّرَ وَاتْرُكْ مَا عَسُرَ وَتَجَاوَزْ لَعَلَّ اللَّهَ يَتَجَاوَزُ عَنَّا ‏.‏ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى قَدْ تَجَاوَزْتُ عَنْكَ

Sesungguhnya seorang lelaki yang tidak pernah melakukan kebaikan, dia biasa memberikan pinjaman kepada orang lain. Lalu, dia berkata kepada utusannya: “Ambillah apa yang mudah, dan tinggalkan apa yang sukar, serta maafkanlah (mereka), mudah-mudahan Allah ta’ala memaafkan kita.”

Ketika lelaki itu meninggal dunia, Allah ‘azza wa jalla bertanya kepadanya: “Adakah kamu pernah melakukan sebarang kebaikan?” Lelaki itu menjawab: “Tidak, kecuali bahawa aku mempunyai seorang hamba, dan aku biasa memberi pinjaman kepada orang lain. Apabila aku mengutus hamba itu untuk pergi mengutip hutang, aku berkata kepadanya: ‘Ambillah apa yang mudah, tinggalkan apa yang sukar, dan maafkanlah, mudah-mudahan Allah memaafkan kita.'” Allah ta’ala pun berfirman: “Aku telah memaafkanmu.”

[HR. al-Nasa’i dalam Sunannya, no. 4694. Dinilai sahih oleh Shaykh al-Albani dalam Sahih al-Nasa’i (4708)]

Kata Abu ‘Umar yang dinukilkan oleh Imam Ibn ‘Abd al-Barr dalam al-Tamhid (11/317, T: Bashar):

فقولُ هذا الرَّجُل، الذي لم يعمَلْ خيرًا قطُّ، غيرَ تَجاوُزِهِ عن غُرمائهِ: “لعلَّ اللَّهَ يَتَجاوزُ عنّا” إيمانٌ، وإقرارٌ بالرَّبِّ ومُجازاتِهِ، وكذلك قولُ الآخرِ: “خَشْيتُكَ يا ربِّ” إيمان باللَّه، واعتِرافٌ لهُ بالرُّبُوبيَّةِ، واللَّه أعلمُ.

“Ucapan lelaki ini, yang tidak pernah melakukan kebaikan kecuali memaafkan orang yang berhutang kepadanya: ‘Mudah-mudahan Allah memaafkan kita,’ menunjukkan keimanannya dan pengakuannya terhadap Tuhan serta balasan-Nya. Begitu juga ucapan yang lain: ‘Aku takut kepada-Mu, ya Tuhan,’ adalah tanda keimanannya kepada Allah dan pengakuannya terhadap keesaan Tuhan. Allahu a’lam.

Kata Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitab Fathul Bari (11/428):

وَشَفَاعَةٌ أُخْرَى هِيَ شَفَاعَتُهُ فِيمَنْ قَالَ لَا إِلٰهَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يَعْمَلْ خَيْرًا قَطُّ

“Dan satu lagi syafaatnya adalah syafaatnya untuk orang yang mengucapkan lā ilāha illallāh (tiada Tuhan selain Allah) tetapi tidak pernah melakukan kebaikan sama sekali.”

Ibn Khuzaimah mensyarahkan dalam kitab al-Tauhid (2/732):

بَابُ ذِكْرِ الدَّلِيلِ أَنَّ جَمِيعَ الْأَخْبَارِ الَّتِي تَقَدَّمَ ذِكْرَى لَهَا إِلَى هَذَا الْمَوْضِعِ فِي شَفَاعَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي إِخْرَاجِ أَهْلِ التَّوْحِيدِ مِنَ النَّارِ إِنَّمَا هِيَ أَلْفَاظٌ عَامَّةٌ مُرَادُهَا خَاصٌّ

“Bab menyebutkan dalil bahawa semua hadis yang telah disebutkan sebelum ini mengenai syafaat Nabi SAW dalam mengeluarkan ahli tauhid daripada neraka sebenarnya adalah lafaz-lafaz umum yang maksudnya adalah khusus.”

هَذِهِ اللَّفْظَةُ لَمْ يَعْمَلُوا خَيْرًا قَطُّ مِنَ الْجِنْسِ الَّذِي يَقُولُ الْعَرَبُ: يُنْفَى الِاسْمُ عَنِ الشَّيْءِ لِنَقْصِهِ عَنِ الْكَمَالِ وَالتَّمَامِ، فَمَعْنَى هَذِهِ اللَّفْظَةِ عَلَى هَذَا الْأَصْلِ، لَمْ يَعْمَلُوا خَيْرًا قَطُّ، عَلَى التَّمَامِ وَالْكَمَالِ، لَا عَلَى مَا أَوْجَبَ عَلَيْهِ وَأَمَرَ بِهِ، وَقَدْ بَيَّنْتُ هَذَا الْمَعْنَى فِي مَوَاضِعَ مِنْ كُتُبِي

“Lafaz ini ‘mereka tidak melakukan kebaikan sama sekali‘ adalah daripada jenis ungkapan yang dikatakan oleh orang Arab: menafikan nama sesuatu kerana kekurangannya dari sudut kesempurnaan. Maka, makna ungkapan ini berdasarkan usul tersebut adalah ‘mereka tidak pernah melakukan kebaikan sama sekali‘ dalam erti kesempurnaan, bukan bermaksud tidak melakukan apa yang diwajibkan dan diperintahkan ke atasnya. Saya telah menjelaskan makna ini dalam beberapa tempat dalam kitab-kitab saya.”

Faedah yang kita dapat daripada hadis ini

Ini adalah satu bentuk syafaat dan rahmat Allah yang dikurniakan kepada Ahli Tauhid yang bersyahadah (mengucapkan lā ilāha illallāh) ketika di akhirat kelak, agar mereka dikeluarkan daripada api neraka setelah dibersihkan dosa-dosa mereka.

Boleh baca juga riwayat-riwayat hadis lain yang berkaitan yang menceritakan tentang perkara ini, antaranya sebuah hadis panjang daripada Abu Sa’id al-Khudri radiyallahu ‘anhu dalam Sahih Muslim (no. 183), bahawa Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ بِأَشَدَّ مُنَاشَدَةً لِلَّهِ فِي اسْتِقْصَاءِ الْحَقِّ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ لِلَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لإِخْوَانِهِمُ الَّذِينَ فِي النَّارِ

Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya. Manusia-manusia beriman akan memohon dengan bersungguh-sungguh kepada Allah untuk memperjuangkan hak saudara mereka yang berada di neraka.

يَقُولُونَ رَبَّنَا كَانُوا يَصُومُونَ مَعَنَا وَيُصَلُّونَ وَيَحُجُّونَ . فَيُقَالُ لَهُمْ أَخْرِجُوا مَنْ عَرَفْتُمْ . فَتُحَرَّمُ صُوَرُهُمْ عَلَى النَّارِ فَيُخْرِجُونَ خَلْقًا كَثيرًا قَدْ أَخَذَتِ النَّارُ إِلَى نِصْفِ سَاقَيْهِ وَإِلَى رُكْبَتَيْهِ

Mereka berkata: Tuhan kami, mereka berpuasa, solat dan mengerjakan haji bersama kami. Lalu dijawab kepada mereka: Keluarkanlah daripada neraka sesiapa yang kalian kenal. Lalu diharamkan mereka daripada neraka. Orang beriman itu pun mengeluarkan sejumlah manusia yang ramai, yang mana mereka telah dimakan neraka sedalam separuh betis hingga ke lutut.

ثُمَّ يَقُولُونَ رَبَّنَا مَا بَقِيَ فِيهَا أَحَدٌ مِمَّنْ أَمَرْتَنَا بِهِ . فَيَقُولُ ارْجِعُوا فَمَنْ وَجَدْتُمْ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالَ دِينَارٍ مِنْ خَيْرٍ فَأَخْرِجُوهُ .

Kemudian orang beriman berkata: Tuhan kami, sudah tiada seorang pun lagi yang kalian suruh kami keluarkan. Lalu Allah menjawab: Kembalilah lagi, sesiapa yang kalian dapati pada hatinya terdapat sebesar dinar kebaikan, keluarkan dia.

فَيُخْرِجُونَ خَلْقًا كَثِيرًا ثُمَّ يَقُولُونَ رَبَّنَا لَمْ نَذَرْ فِيهَا أَحَدًا مِمَّنْ أَمَرْتَنَا . ثُمَّ يَقُولُ ارْجِعُوا فَمَنْ وَجَدْتُمْ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالَ نِصْفِ دِينَارٍ مِنْ خَيْرٍ فَأَخْرِجُوهُ .

Lalu mereka mengeluarkan sejumlah manusia yang ramai, kemudian mereka berkata: Tuhan kami, kami tidak meninggalkan seorang pun yang engkau suruh kami keluarkan. Kemudian Allah berkata: Kembalilah lagi, sesiapa yang kalian dapati dalam hatinya terdapat separuh dinar kebaikan, keluarkanlah dia.

فَيُخْرِجُونَ خَلْقًا كَثِيرًا ثُمَّ يَقُولُونَ رَبَّنَا لَمْ نَذَرْ فِيهَا مِمَّنْ أَمَرْتَنَا أَحَدًا . ثُمَّ يَقُولُ ارْجِعُوا فَمَنْ وَجَدْتُمْ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ مِنْ خَيْرٍ فَأَخْرِجُوهُ .

Lalu mereka mengeluarkan sejumlah ramai manusia, kemudian mereka berkata: Tuhan kami, kami tidak meninggalkan seorang pun yang engkau suruh kami keluarkan. Kemudian Allah berkata: Kembalilah, sesiapa yang kalian dapati dalam hatinya ada sebesar zarah kebaikan, keluarkanlah dia.

فَيُخْرِجُونَ خَلْقًا كَثِيرًا ثُمَّ يَقُولُونَ رَبَّنَا لَمْ نَذَرْ فِيهَا خَيْرًا” .

Lalu mereka mengeluarkan sejumlah manusia yang ramai. Kemudian mereka berkata: Tuhan kami, kami tidak meninggalkan langsung sesiapa yang ada kebaikan di sana.

وَكَانَ أَبُو سَعِيدٍ الْخُدْرِيُّ يَقُولُ إِنْ لَمْ تُصَدِّقُونِي بِهَذَا الْحَدِيثِ فَاقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ {‏إِنَّ اللَّهَ لاَ يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ وَإِنْ تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا وَيُؤْتِ مِنْ لَدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا‏}”‏

Abu Sa’id al-Khudri berkata: Jika kamu tidak percaya hadis ini, maka bacalah jika kamu mahu: “Sesungguhnya Allah tidak akan menganiaya (seseorang) walaupun sebesar zarah, dan jika ada kebaikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipatgandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar.” [Surah al-Nisaa’, ayat 40]

فَيَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ شَفَعَتِ الْمَلاَئِكَةُ وَشَفَعَ النَّبِيُّونَ وَشَفَعَ الْمُؤْمِنُونَ وَلَمْ يَبْقَ إِلاَّ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

Maka Allah ‘azza wa jalla berkata, ‘Para malaikat telah memberi syafaat, para nabi telah memberi syafaat, dan orang-orang beriman telah memberi syafaat. Dan tidak ada yang tinggal kecuali Yang Maha Pengasih di antara yang mengasihani.’

فَيَقْبِضُ قَبْضَةً مِنَ النَّارِ فَيُخْرِجُ مِنْهَا قَوْمًا لَمْ يَعْمَلُوا خَيْرًا قَطُّ قَدْ عَادُوا حُمَمًا فَيُلْقِيهِمْ فِي نَهْرٍ فِي أَفْوَاهِ الْجَنَّةِ يُقَالُ لَهُ نَهْرُ الْحَيَاةِ

Lalu Allah mengambil segenggam dari neraka dan mengeluarkan daripada neraka orang-orang yang tidak pernah melakukan kebaikan sama sekali, yang telah menjadi arang. Kemudian Dia meletakkan mereka di dalam sebuah sungai di pintu syurga yang disebut Nahr al-Hayah (Sungai Kehidupan)

فَيَخْرُجُونَ كَمَا تَخْرُجُ الْحِبَّةُ فِي حَمِيلِ السَّيْلِ أَلاَ تَرَوْنَهَا تَكُونُ إِلَى الْحَجَرِ أَوْ إِلَى الشَّجَرِ مَا يَكُونُ إِلَى الشَّمْسِ أُصَيْفِرُ وَأُخَيْضِرُ وَمَا يَكُونُ مِنْهَا إِلَى الظِّلِّ يَكُونُ أَبْيَضَ ‏”‏ ‏.‏ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ كَأَنَّكَ كُنْتَ تَرْعَى بِالْبَادِيَةِ قَالَ ‏”‏ فَيَخْرُجُونَ كَاللُّؤْلُؤِ فِي رِقَابِهِمُ الْخَوَاتِمُ يَعْرِفُهُمْ أَهْلُ الْجَنَّةِ هَؤُلاَءِ عُتَقَاءُ اللَّهِ الَّذِينَ أَدْخَلَهُمُ اللَّهُ الْجَنَّةَ بِغَيْرِ عَمَلٍ عَمِلُوهُ وَلاَ خَيْرٍ قَدَّمُوهُ‏”‏ ‏.‏

Mereka keluar daripadanya seperti biji-bijian yang tumbuh di dalam keladak sungai. Kamu melihatnya tumbuh di batu atau di pohon, apa yang menghadap matahari menjadi kekuningan dan kehijauan, dan apa yang menghadap ke bayangan menjadi putih.’ Mereka berkata, ‘Wahai Rasulullah, seolah-olah kamu pernah mengembala di padang pasir.’ Baginda berkata, ‘Mereka keluar seperti mutiara di leher mereka. Penduduk syurga mengenali [tanda] mereka sebagai orang-orang yang dibebaskan oleh Allah, yang dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga tanpa amal yang mereka lakukan dan tanpa kebaikan yang mereka persembahkan.’

Faedah yang dapat kita pelajari bersama:

  1. Orang-orang yang tidak ada sebarang kebaikan yang dikeluarkan daripada neraka tersebut kerana rahmat dan kasih sayang Allah adalah mereka di kalangan orang Muslim yang mentauhidkan Allah [dengan ucapan syahadah: lā ilāha illallāh].
  2. Orang-orang kafir akan kekal dalam neraka Jahannam. Wal ‘iyazu billah.
  3. Tidak melakukan amal kebaikan itu adalah disebut dengan lafaz yang umum, tidak bermaksud mereka orang-orang yang tidak pernah solat, tidak pernah berpuasa, tidak pernah berzakat. Kerana perbuatan meninggalkan solat secara berterusan dan mengingkari kewajipan solat boleh menatijahkan kekufuran seperti dalam hadis-hadis sahih yang lain. Tetapi mereka ini adalah termasuk orang-orang Muslim yang melaksanakan kewajipan tetapi secara tidak sempurna seperti yang telah pun dijelaskan oleh Imam Ibn Khuzaymah.

Allahu a’lam.

Jawapan diolah daripada: Islamqa.info

Shares:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *